Kita Sudah Memasuki Era Evolusi Perniagaan & Pemasaran

BERITA BAIK

Saya tahu dan tuan puan pun tahu, sekarang ialah masa paling mudah untuk memulakan bisnes. Tidak pernah dalam sejarah manusia, kos untuk memulakan bisnes menjadi begitu rendah, malah boleh mula dengan kos RM0.

Sahabat saya kata, Malaysia baru bergerak ke arah 2 kerja. Negara jiran kita Indonesia pula dah bergerak ke arah 3 kerja. Kos memulakan bisnes yang semakin rendah membuka ruang untuk semua orang memulakan bisnes secara parttime.

Semuanya disebabkan oleh wujudnya teknologi digital. Kos untuk memasarkan & menjual cukup dengan memiliki akaun media sosial secara percuma & capaian internet yang boleh dibayar secara prepaid dari serendah RM5.

Produk pula, boleh bermula dengan menjual produk orang lain secara dropship (hanya perlu bayar yuran dropship), atau boleh juga menjual menggunakan link affiliate (percuma).

Bagi yang ingin menggunakan jenama sendiri pula, boleh terus ke OEM untuk buat produk sendiri dengan brand sendiri. Kita juga boleh melayari Alibaba untuk pilih produk apa yang diingini dan meletakkan logo brand kita pada produk tersebut pada kos yang tidaklah terlalu tinggi

Selain itu, dengan kebanjiran produk dari negara China, ramai yang sanggup untuk pergi ke China untuk memborong pelbagai produk dan dibawa pulang ke Malaysia untuk diniagakan. Jika tidak mampu ke China, kita juga boleh ke GM Klang atau Kompleks Kenanga untuk membeli barang secara borong yang juga diimport dari China. Modus operadi ini biasanya digunakan oleh penjual pasar malam di seluruh negara.

Oleh kerana zaman telah beralih dari analog ke digital, cara pemasaran juga telah mengalami evolusi dari pemasaran tradisional ke Digital Marketing.

Jika dulu orang bisnes menggunakan media massa untuk menyampaikan mesej kepada target pasaran (yang mahal), sekarang mereka mula menggunakan Facebook Ads, Google Adwords, & Email Marketing (dan banyak lagi) untuk tujuan yang sama dengan kos yang jauh lebih murah (semurah RM10 sehari).

 

BERITA BURUK

Namun tidak semuanya indah. Benar evolusi digital memudahkan sesiapa sahaja untuk memulakan perniagaan dengan kos yang paling minimum.

Tapi zaman ini juga adalah zaman yang paling sukar untuk dapatkan perhatian manusia.

Pada tahun 1970, dianggarkan setiap warga Amerika melihat 500 iklan sehari. Hari ini, setiap warga Amerika dianggarkan melihat 5,000 – 10,000 iklan sehari.

Tidak pernah dalam sejarah dunia pengiklanan melihat persaingan yang sebegitu sengit. Siapa agaknya yang akan menang?

Kita semua pernah berada dalam situasi yang sama. Buat Facebook Page dan hanya beberapa orang sahaja yang like. Buat video hanya belas-belas orang sahaja yang tonton. Buat posting di Facebook dan bilangan like boleh dibilang dengan jari. Buat iklan facebook dan tiada sales yang masuk.

Ini adalah kesan langsung dari dunia yang penuh serabut dan gangguan.

APA YANG KITA BOLEH BUAT?

Teruskan membaca, belajar dan memerhati. Jika tuan puan ada bisnes, cuba fahami dan selami pelanggan. Cuba berada ditempat pelanggan. Ketahui apakah impian dan harapan pelanggan.

Amazon, syarikat E-Commerce terbesar dunia menjadikan pelanggan sebagai fokus No. #1 mereka. Mereka melaburkan banyak wang semata-mata untuk memudahkan pelanggan mencari produk dan seterusnya membeli produk di website mereka. Kemudian mereka laburkan lagi wang supaya produk boleh diproses dan dihantar dengan lebih cepat dengan menggunakan teknologi robot, drone dan sebagainya.

Kenapa syarikat besar memfokuskan kepada pelanggan? Ini kerana mereka tahu keuntungan sebenar mana-mana bisnes bukannya datang dari pembelian kali pertama. Ianya datang dari pembelian berulang dari pelanggan yang pernah membeli.

Saya telah terangkan sebelum ini berkenaan 3 Cara Fundamental Untuk Naikkan Sales Bisnes (klik untuk baca).

Saya akan kongsikan tips-tips lain dalam posting yang akan datang.